LOADING

Type to search

Fakta HM

JOM KENALI KUCING MUSIM SEJUK

Share

Kucing Hutan Norway atau nama Inggerisnya, Norwegian Forest Cat (NFC), ialah baka kucing yang berasal dari Utara Eropah. Jenis baka ini boleh hidup dalam kawasan beriklim sejuk dan tebal. Di Norway, baka kucing NFC telah dikenali sebagai Skogkatter atau Norsk Skogkatter yang mana terjemahannya bermaksud Kucing Hutan Norway.

NORWEGIAN FOREST CAT, BAKA IKLIM SEJUK

N2

JADI TARIKAN

Baka Norwegian Forest Cat adalah antara baka kucing yang tertua dan muncul secara semulajadi sebagai satu penyesuaian diri oleh kucing di negara yang mempunyai iklim sejuk. Ia hanya dianggap sebagai kucing biasa sehinggalah tahun 1930-an, apabila NFC muncul di pameran kucing di Jerman. Ada yang menganggap baka ini sebagai moyang kepada kucing Maine Coon dan Manx.
Norwegian Forest Cat mempunyai dwilapisan bulu yang tebal, telinga berjumbai dan ekor mengerbang yang panjang untuk melindungi diri mereka daripada cuaca sejuk.

Bulu mereka kalis air disebabkan lapisan luar yang kasar dan lapisan dalam yang tebal serta padat. Baka NFC ini telah dikategorikan sebagai kucing besar dimana berat kucing jantan mampu mencecah antara 6 – 10 kilogram (KG) manakala kucing betina pula hampir separuh daripada berat kucing jantan.

GEMAR MEMBURU

Selain itu, Norwegian Forest Cat merupakan kucing yang pintar, gemar bermain dan selesa ditemani manusia terutama pemiliknya. Mereka turut dikenali sebagai Wegie, yakni singkatan terhadap nama baka mereka.
Sepertimana baka Maine Coon, NFC adalah baka yang aktif bermain, memburu dan sukakan kegiatan luar rumah. Ini menjadikan baka NFC ini antara pemburu yang cekap. Walaupun mempunyai susuk tubuh yang besar, baka NFC mampu menonjolkan pecutan kelajuan yang sangat mengagumkan dan mampu memukau hati sesiapa sahaja.

Bagi sesiapa yang berminat untuk memeliharanya, Norwegian Forest Cat ini memang mudah menerima manusia dan binatang peliharaan lain sebagai teman. Kadangkala juga, baka NFC akan keluar mencari teman sepermainan jika pemilik mereka tiada di rumah untuk menemani mereka.

KUCING INDOOR

Memiliki bentuk fizikal yang besar dan garang tidak semestinya kucing tersebut tidak sesuai dipelihara di rumah. Baka NFC ini tidak mudah tertekan dan agak penyabar telah menjadikan mereka sesuai untuk dijadikan sebagai kucing dalam rumah (indoor). Namun, jenis kucing ini suka menjadi bos dan akan menjadikan rumah anda seolah-olah kepunyaannya.

Naluri setiap kucing adalah untuk bermain, memburu dan melompat. Oleh itu, baka Norwegian Forest Cat juga begitu gemar memanjat dan menghargai pemiliknya jika ada menyediakan pokok pemanjat untuk mereka. Mereka adalah gergasi penyayang dengan perilaku yang lembut dan sangat kasih serta setia kepada sesiapa yang berkongsi kehidupan dengan mereka sama ada manusia ataupun haiwan lain.

Dwilapisan bulu separa panjang dan kalis air telah membantu baka ini untuk kekal hangat walaupun dalam suasana sejuk di Norway. Bulu yang berjumbai pada jari kaki adalah untuk melindungi bahagian kaki daripada kesejukan. Tulang mereka kukuh dengan bahagian kepala berbentuk segitiga, mata seakan-akan bentuk badam dan bersudut pada tapak telinga. Jika dinilai secara keseluruhannya, jenis baka dari Norway ini sememangnya mempunyai penampilan yang kacak serta segak jika dibandingkan dengan baka kucing lain.

N3

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *