Type to search

Si Bulus HM

NORWEGIAN FOREST – SI BAKA MUSIM SALJU

Share

Kucing Hutan Norway atau nama Inggerisnya, Norwegian Forest Cat (NFC), ialah baka kucing yang berasal dari Utara Eropah. Jenis baka ini boleh hidup dalam kawasan beriklim sejuk dan tebal. Di Norway, baka kucing NFC telah dikenali sebagai Skogkatter atau Norsk Skogkatter yang mana terjemahannya bermaksud Kucing Hutan Norway.


JADI TARIKAN

Baka Norwegian Forest Cat adalah antara baka kucing yang tertua dan muncul secara semulajadi sebagai satu penyesuaian diri oleh kucing di negara yang mempunyai iklim sejuk. Ia hanya dianggap sebagai kucing biasa sehinggalah tahun 1930-an, apabila NFC muncul di pameran kucing di Jerman. Ada yang menganggap baka ini sebagai moyang kepada kucing Maine Coon dan Manx.

Norwegian Forest Cat mempunyai dwilapisan bulu yang tebal, telinga berjumbai dan ekor mengerbang yang panjang untuk melindungi diri mereka daripada cuaca sejuk.

Bulu mereka kalis air disebabkan lapisan luar yang kasar dan lapisan dalam yang tebal serta padat. Baka NFC ini telah dikategorikan sebagai kucing besar dimana berat kucing jantan mampu mencecah antara 6 – 10 kilogram (KG) manakala kucing betina pula hampir separuh daripada berat kucing jantan.

GEMAR MEMBURU

Selain itu, Norwegian Forest Cat merupakan kucing yang pintar, gemar bermain dan selesa ditemani manusia terutama pemiliknya. Mereka turut dikenali sebagai Wegie, yakni singkatan terhadap nama baka mereka.

Sepertimana baka Maine Coon, NFC adalah baka yang aktif bermain, memburu dan sukakan kegiatan luar rumah. Ini menjadikan baka NFC ini antara pemburu yang cekap. Walaupun mempunyai susuk tubuh yang besar, baka NFC mampu menonjolkan pecutan kelajuan yang sangat mengagumkan dan mampu memukau hati sesiapa sahaja.

Bagi sesiapa yang berminat untuk memeliharanya, Norwegian Forest Cat ini memang mudah menerima manusia dan binatang peliharaan lain sebagai teman. Kadangkala juga, baka NFC akan keluar mencari teman sepermainan jika pemilik mereka tiada di rumah untuk menemani mereka.

– Baka kucing semulajadi tanpa persilangan dari mana-mana baka lain
– Antara baka yang gemar menyendiri tapi masih memerlukan manusia sebagai peneman
– Gemar berkeliaran
– Berjiwa bebas, tidak suka dikongkong

Tags